ROKOK yang dirampas pasukan JKDM Miri di sebuah kantin ladang kelapa sawit di Kuala Baram, semalam. FOTO JKDM
ROKOK yang dirampas pasukan JKDM Miri di sebuah kantin ladang kelapa sawit di Kuala Baram, semalam. FOTO JKDM
Erika George


SEBUAH kantin di ladang kelapa sawit di Kuala Baram di sini, diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam sekali gus merampas 123,504 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM100,000.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Miri pada jam 11.10 pagi merampas sejumlah rokok dengan anggaran nilai RM12,000 membabitkan nilai cukai RM90,000 yang disembunyikan dalam bilik stor dan rak kantin terbabit.

“Serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis yang menjual rokok terbabit kepada pekerja ladang berkenaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barangan belum lulus cukai atau barang larangan.

Jika disabit salah, lelaki terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100, 000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan bagi kesalahan pertama atau RM500, 000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya yang mana lebih tinggi.

Pesalah juga boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sharifah Halimah dalam pada itu meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau melayari laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

Pihak JKDM turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 1:57 PM