PREMIS    di Jalan Ceniah, Pandamaran, yang terbakar awal pagi semalam.
PREMIS di Jalan Ceniah, Pandamaran, yang terbakar awal pagi semalam.
Faliq Lajim


Pelabuhan Klang: “Ketika kejadian saya tidur di tingkat atas kedai sebelum terasa panas lalu bangun. Apabila meninjau di luar tingkap belakang rumah saya dapati api semakin marak,” kata Yong See Ming, 70, mangsa kebakaran rumah kedai di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, tujuh rumah kedai di Jalan Ceniah, pekan Pandamaran di sini, musnah dalam kebakaran itu.

Yong yang juga pemilik kedai runcit berkata, sejurus ternampak api dia menjerit dan berlari menyelamatkan diri bersama enam ahli keluarganya.

“Saya jerit kepada isteri dan anak minta mereka bangun dan selamatkan diri.

“Kami tidak sempat ambil apa-apa barangan kerana api marak cepat,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia dan keluarganya kini menumpang di rumah abangnya di kawasan itu.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 40, berkata, premis kedai plastik peralatan sembahyang milik keluarganya turut musnah dalam kebakaran itu.

“Saya dapat panggilan daripada jiran memaklumkan kedai kami terbakar sebelum saya bergegas ke sana.

“Pada 2007 kedai kami pernah terbakar sebelum kami pindah ke tempat lain dan sekali lagi terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4 pagi.

Beliau berkata, 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Pelabuhan Klang, Andalas dan Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.

“Ketika bomba sampai, hampir semua premis musnah kerana kebanyakan kedai itu berstrukturkan papan dan batu.

“Kami mengawal kebakaran jam 4.55 pagi,” katanya.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah kedai sebelum api merebak ke kedai berhampiran.

Samsol Maarif berkata, tiada mangsa terbabit dalam kebakaran itu.

“Berdasarkan siasatan awal jumlah kerugian semua premis dianggarkan RM5 juta dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 8:10 AM