Dr Mahathir ketika keluar dari Ibu Pejabat Parti Bersatu selepas mesyuarat MPT Bersatu di Menara Yayasan Selangor. FOTO Aswadi Alias
Dr Mahathir ketika keluar dari Ibu Pejabat Parti Bersatu selepas mesyuarat MPT Bersatu di Menara Yayasan Selangor. FOTO Aswadi Alias

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian memberi sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Portal The Star melaporkan, GPS yang mempunyai 18 ahli undang-undang di Dewan Rakyat, juga bersedia untuk memihak kepada gabungan Kerajaan Persekutuan diketuai Dr Mahathir jika gabungan itu dibentuk di peringkat kebangsaan.

Parti komponen GPS adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Untuk rekod, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg adalah Presiden PBB.

Laporan memetik sumber tidak dinamakan itu berkata, semua parti komponen GPS bersetuju bahawa GPS akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Dr M.

“Dengan keadaan politik tidak menentu di peringkat Persekutuan di Putrajaya, GPS dengan 18 kerusi Ahli Parlimen mesti membuat pendirian. Pilihan untuk menyokong Dr M juga bagi survival GPS di Sarawak.

“Pemimpin GPS merasakan dengan pilihan raya negeri yang bakal menjelang, kepentingan GPS di Sarawak akan dilindungi lebih baik dengan Dr M sebagai Perdana Menteri,” kata laporan berkenaan.

Pemimpin GPS baru-baru ini mengadakan mesyuarat tertutup di Kuching dan membincangkan situasi politik terkini di peringkat kebangsaan.

Hari ini, GPS juga sedang melakukan mesyuarat tertutup di sebuah hotel di ibu kota dipercayai berkaitan dengan isu pembentukan kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 4:43 PM