GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Semua presiden komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Isnin ini.

Jurucakap Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, pertemuan empat pemimpin parti dengan baginda itu akan diadakan secara persidangan video.

Beliau berkata, persidangan video itu akan diadakan dari Wisma Bapa Malaysia di sini, pada jam 11 pagi.

"Pejabat Ketua Menteri hari ini dihubungi oleh Istana Negara yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menjemput semua Presiden komponen GPS untuk menghadap baginda menerusi persidangan video pada 14 Jun ini," katanya.

Pemimpin terbabit ialah Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Pengerusi GPS; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 12:12 PM