LOKASI mayat mangsa ditemui di kebun getah di Kuala Penyu. FOTO Juwan Riduan
LOKASI mayat mangsa ditemui di kebun getah di Kuala Penyu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


TANDA tanya lelaki tidak menjemput anaknya di sekolah terjawab apabila ditemui tergantung di kebun getah di Kuala Penyu, Beaufort, semalam.

Mayat lelaki berusia 44 tahun itu ditemui tergantung pada pokok getah oleh anak mangsa lalu dimaklumkan kepada ibunya pada 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa dikatakan keluar rumah pada 7 pagi untuk menghantar lima anaknya ke sekolah tetapi tidak menjemput anaknya yang pulang pada 11.30 pagi.

“Anak mangsa kemudian berjalan kaki ke tempat kerja bapanya di Kuala Penyu tetapi mangsa tiada hingga 5 petang. Anak mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh rakan sekerja mangsa.

“Sebaik tiba di rumah, lelaki itu bertanya kepada isteri mangsa di mana mangsa tetapi isteri menyatakan mangsa tiada di rumah sebelum mengarah tiga anaknya mencari di sekitar kebun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, tidak lama selepas itu, anaknya menemui mangsa yang tergantung di pokok getah dan menjerit ke arah ibunya.

“Anaknya kemudian memotong tali untuk menyelamatkan bapanya (mangsa) tetapi mangsa sudah tidak bernyawa sebelum isterinya memaklumkan rakan sekerjanya menghubungi polis.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 10:44 AM