SUSPEK ditahan di Balai Polis Kuala Penyu. FOTO Juwan Riduan
SUSPEK ditahan di Balai Polis Kuala Penyu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan memburu haram di daerah ini, ketika membuat laporan polis kereta hilang kononnya dicuri, hari ini.

Penahanan lelaki itu dibuat selepas polis mengenal pasti dia adalah individu yang dipercayai melarikan diri bersama dua rakannya ketika cuba ditahan polis kerana memburu secara haram di Kampung Padas Damit, di Beaufort, 5.30 petang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, dalam kejadian Selasa lalu itu, polis membuat pemerhatian terhadap kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang ternakan kerbau di kampung itu.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, polis terdengar bunyi tembakan dan menemui tiga lelaki masing-masing membawa laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk.

Katanya, menyedari kehadiran polis, suspek pura-pura cuba memberi kerjasama dengan menyerahkan dua senjata api itu kepada polis.

“Bagaimanapun, selepas meletakkan senjata api itu, ketiga-tiga suspek terus melarikan diri sambil membawa satu laras senjata api ke kawasan hutan.

“Anggota polis kemudian bertindak mengejar dan menjumpai satu laras senapang bakakuk bersama dua butir peluru hidup manakala suspek meloloskan diri ke kawasan hutan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

TIGA laras senapang bakukuk dirampas dipercayai digunakan untuk memburu. FOTO Juwan Riduan
TIGA laras senapang bakukuk dirampas dipercayai digunakan untuk memburu. FOTO Juwan Riduan

Azmir berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan membolehkan polis mengetahui rumah suspek yang terletak di Kuala Penyu dan berdasarkan maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di rumah, suspek dikatakan berada di Balai Polis Kuala Penyu dipercayai untuk membuat laporan polis kereta milik anaknya hilang dicuri.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut dan polis sedang giat mengesan dua lagi rakan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:50 PM