Talib berucap pada majlis makan malam Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak. FOTO Melvin Joni
Talib berucap pada majlis makan malam Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


RASUAH dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat awam di Sarawak dikesan meningkat tahun lalu sekali gus menyebabkan pendapatan kerajaan negeri terjejas.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip berkata, salah laku itu dikesan melalui kegiatan pembalakan haram, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan barangan.

“Sekiranya rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam dibasmi, saya percaya kerajaan negeri dapat menikmati pendapatan yang lebih besar.

“Kehilangan pendapatan berlaku apabila cukai yang menjadi pendapatan negeri tidak dikutip berikutan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya berucap pada majlis makan malam Unit Integriti dan Ombudsman di Kuching, malam tadi.

Justeru, Talib berkata, kementeriannya akan terus meletakkan komitmen yang tinggi dalam menangani gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam.

Sementara itu, Pengerusi Unit Integriti dan Ombudsman, Adana Jed mendedahkan sepanjang tahun lalu, sejumlah 1,101 tangkapan membabitkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh penjawat awam.

Menurutnya, angka itu membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan berbanding 2018.

Katanya, pada 2018 sebanyak 894 tangkapan dibuat, meningkat sebanyak 207 kes pada 2019.

“Kami berharap dapat membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam negeri kerana kegiatan ini hanya merosakkan imej perkhidmatan awam negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 3:46 PM