Suspek ditahan polis selepas ingkar PKP keluar memburu binatang liar di kawasan hutan Membakut, Beaufort. - FOTO Juwan Riduan
Suspek ditahan polis selepas ingkar PKP keluar memburu binatang liar di kawasan hutan Membakut, Beaufort. - FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Pix: Juwan Riduan

TINDAKAN seorang lelaki keluar memburu di hutan di Membakut di Beaufort, membawa padah apabila dia ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suspek berusia 49 tahun ditahan anggota polis yang menjalankan rondaan PKP di kawasan Perkuburan Taman Firdaus Kampung Madang Pimping, jam 11.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir A Razak berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort yang sedang menjalankan rondaan PKP melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Polis kemudian menahan lalu membuat pemeriksaan sebelum menemui dua butir peluru jenis 12 bore yang disimpan dalam poket seluar suspek.

“Polis kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu Troper dan menemui senapang buat sendiri jenis bakakuk yang disembunyikan dalam guni. Turut ditemui sebilah parang,” katanya di sini, hari ini.

Azmir berkata, siasatan mendapati suspek keluar daripada rumahnya di Kampung Madang Pimping, Membakut ke kawasan hutan berdekatan untuk memburu binatang liar berseorangan, kira-kira jam 4 petang.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, suspek ditahan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan PKP Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Polis merampas senapang bakakuk yang dibawanya bersama dua butir peluru jenis 12 Bore dan sebilah parang,” katanya.

Menurutnya, suspek terbabit kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes siasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 11:16 AM