MUJAHID YUSOF RAWA
MUJAHID YUSOF RAWA
Mahaizura Abd Malik


“SAYA bercakap soal Muhammad Sajjad (Kamaruz Zaman) ini memandangkan dia tidak pernah insaf melakukan perbuatan mengubah ciptaan Allah ke atas dirinya,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid berkata, ahli perniagaan itu tidak pernah insaf dan rasa bersalah biarpun masyarakat dan warganet membangkitkan isu tingkah lakunya yang bertentangan dengan syariat sejak sekian lama.

“Kalau pun sifat dia lembut, tetapi bukan lesen untuk mempamerkan pelbagai bentuk dan gaya lucah itu kerana sudah melanggar syariat.

“Orang bercakap benda ini bukan sekarang, tetapi sejak 2016 tetapi dia tidak pernah mengambil apa-apa atau insaf atau memperbaiki dirinya,” katanya dalam siaran Media Rahmah, yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam.

Katanya, tindakan usahawan berkenaan seolah-olah tidak sensitif dengan masyarakat dan agama.

MUHAMMAD SAJJAD
MUHAMMAD SAJJAD

“Isunya, dengan mempamerkan perlakuan tidak senonoh itu sendiri boleh menyebabkan kebejatan dalam moral. Kalau Sajat lagilah menjadi tumpuan orang ramai.

“Dengan pelanggaran itu, dia bangga dan semakin galak menunjuk seolah tidak kisah semua ini dan tiada perkiraan sensitiviti langsung kepada masyarakat,” katanya.

Sajat atau lebih dikenali dengan Nur Sajat kembali mencetuskan kontroversi apabila berpakaian wanita ketika menunaikan umrah di Tanah Suci, baru-baru ini.

Mujahid sebelum ini dilaporkan, pihaknya akan membuat penilaian terlebih dulu sebelum menentukan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau memberi nasihat kepada usahawan itu.

Dalam rakaman berkenaan, Mujahid turut menjelaskan kes Sajat dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 4:41 PM