Erika George


TERTEKAN dengan masalah rumah tangga, seorang lelaki cuba membakar rumahnya di Taman Asean di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Christus Buson berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.22 malam dan mengerahkan 14 anggota ke lokasi.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kepulan asap keluar dari bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

“Anggota bomba cuba masuk ke dalam kediaman berkenaan, namun pintu hadapan rumah terkunci dari dalam oleh penghuninya.

“Kami kemudiannya meminta bantuan polis bagi memujuk lelaki berusia 40 tahun itu membuka pintu bagi memadam kebakaran,” katanya.

Katanya, selepas hampir setengah jam memujuk, akhirnya lelaki itu bersetuju untuk membuka pintu, sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Cristus, anggota bomba yang membuat pemeriksaan mendapati lelaki terbabit membakar sampah dalam tong dan tidak merebak ke bahagian lain.

Hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas lelaki terbabit mendapati dia mahu membakar kediamannya kerana mengalami masalah rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:14 PM