ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah setinggan di Kampung Sungai Plan, Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, malam tadi. FOTO ERIKA GEORGE
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah setinggan di Kampung Sungai Plan, Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, malam tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Tiga beranak yang sedang berehat sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka di kawasan setinggan Sungai Plan, Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson berkata, sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari BBP Bintulu sejurus menerima panggilan pada 7.42 malam.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan kediaman tidak kekal itu yang turut berhampiran kediaman lain.

"Pasukan bomba menghadapi kesukaran semasa memadam kebakaran disebabkan rumah kawasan setinggan itu dibina agak hampir antara satu sama lain.

"Pada masa sama, kami melakukan proses penyejukan pada kediaman berhampiran bagi menggelakan kebakaran merebak ke kediaman lain," katanya.

Beliau berkata, api berjaya dipadam sepenuhnya pada 8.35 malam.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati rumah terbabit didiami suami isteri dan seorang anak lelaki mereka yang berumur tiga tahun.

"Kebakaran itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan difahamkan semua mangsa kini menetap sementara di rumah saudara yang berdekatan sementara menunggu bantuan selanjutnya.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 11:25 AM