KEADAAN mangsa yang diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut. FOTO ihsan bomba
KEADAAN mangsa yang diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut. FOTO ihsan bomba
Erika George


Bintulu: Seorang suri rumah warga Indonesia dan bayi perempuannya berusia sembilan bulan melecur tubuh susulan letupan mendadak silinder gas petroleum cecair (LPG).

Dalam kejadian jam 10 pagi tadi, mangsa berusia 29 tahun dikatakan sedang memasak di rumah disewa di Taman Kemena Sutera di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson, berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergerak ke lokasi bagi tugas menyelamatkan mangsa sejurus menerima panggilan kecemasan,

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati wanita terbabit masih berada di dalam kediamannya. Dia mengalami luka serta melecur pada bahagian lengan dan tubuh.

"Anggota Pasukan Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudiannya bertindak memberikan rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan.

"Difahamkan bayi mangsa sudah dibawa ke hospital terlebih dahulu dengan bantuan orang awam," katanya.

Menurutnya, letupan silinder LPG turut mengakibatkan bahagian siling rumah sewa berkenaan runtuh.

"Mujurlah letupan yang berlaku tidak mendatangkan kemalangan jiwa. Orang awam bertindak pantas memecahkan pintu rumah sewa itu bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa," ujar beliau.

Punca letupan masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:48 PM