JENAZAH dihantar ke hospital dengan kenderaan polis. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
JENAZAH dihantar ke hospital dengan kenderaan polis. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


JASAD anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan pagi semalam, ditemukan terapung berdekatan lokasi kejadian 6.22 petang tadi.

Jasad Koperal Asman Ongkal, 40, ditemukan nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum dimaklumkan kepada agensi penyelamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, jasad ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi insiden.

“Jasad diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Turut berada di lokasi ahli keluarga mangsa yang menunggu sejak operasi dilakukan bermula semalam.

Asman adalah antara penumpang bot yang membawa 37 penumpang dari Kampung Tanjung Aru (Pulau Seberang Bandar Sandakan) menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan yang karam 6.20 pagi semalam.

Bot itu karam selepas bertembung dengan sebuah bot nelayan yang sedang ditunda.

Sejurus kejadian, Asman yang menaiki bot untuk ke tempat bertugas di Batalion 15 Sandakan itu dikatakan sempat menyelamatkan mangsa lain termasuk anak lelakinya yang berusia 16 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 8:40 PM