Asman, anggota PGA yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan pagi hari ini. Foto Ihsan PGA
Asman, anggota PGA yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan pagi hari ini. Foto Ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) yang hilang dalam insiden bot karam di perairan Sandakan pagi hari ini sempat menyelamatkan mangsa lain.

Koperal Asman Ongkal, 40, dilaporkan dalam perjalanan untuk bertugas di Batalion 15 Sandakan ketika kejadian itu.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan Superintendan Toipi Lamat berkata, sebelum kejadian anggotanya itu dalam perjalanan untuk bertugas dan dalam masa yang sama menghantar anak lelakinya yang berusia 16 tahun ke sekolah.

Menurutnya, sejurus berkenaan bot dinaiki karam, Asman membantu menyelamatkan penumpang lain sebelum dilaporkan hilang.

“Setakat ini, Asman belum ditemui dan kami turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan ketika ini.

“Kami akan berusaha sedaya mungkin dalam mengesan Asman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berharap anggotanya itu berjaya ditemui dengan selamat dan meminta semua pihak mendoakan operasi mencari dan menyelamat berjalan dengan lancar.

Asman adalah antara penumpang bot yang membawa 37 penumpang dari Kampung Tanjung Aru (Pulau Seberang Bandar Sandakan) menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan yang karam pada 6.20 pagi.

Difahamkan, bot itu bertembung dengan sebuah bot yang sedang ditunda.

Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi kini giat dijalankan dan memfokuskan lima batu nautika di perairan bandar Sandakan.

Berita berkaitan

Bot karam: Anggota PGA hilang

34 selamat, seorang dilaporkan hilang

Sembilan selamat, seorang hilang

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 4:56 PM