AHLI keluarga mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong hadir ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
AHLI keluarga mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong hadir ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Audrey Dermawan; Shamsul Munir Safini dan Muhammad Yusri Muzamir


SUASANA pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown ketika waris hadir untuk proses pengecaman mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, petang hari ini.

Mayat pertama iaitu lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Samsul Asman, 19, tiba di Unit Forensik HPP jam 6.20 petang, disusuli mayat warga Bangladesh dikenali sebagai Attirul, 35, jam 7 malam.

Bapa kepada Samsul, Asman Ibrahim, 62, mengakui terkejut dengan kejadian terbabit, selain menjelaskan anaknya baru sahaja bekerja di kawasan pembinaan berkenaan.

“Saya sangat terkejut dengan berita kematian anak dan hanya dimaklumkan mengenainya selepas solat Jumaat. Dia baru sahaja berkerja selama dua bulan di tapak pembinaan (lebuh raya) itu.

“Ketika itu saya baru tiba di rumah di Paya Terubong dan melihat isteri saya sudah menangis menyampaikan berita kematian anak kami,” katanya ketika ditemui pemberita.

Asman yang berasal dari Sulawesi, Indonesia dan memegang taraf penduduk tetap dilihat sudah meninggalkan perkarangan Unit Forensik HPP.

Sementara itu, rakan kepada Attirul yang hanya dikenali sebagai Jadir berada di HPP untuk proses pengecaman mayat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:15 PM