Pengetua SMK Raja Jumaat, Akashah Ismail (tiga dari kanan) bertanyakan khabar pelajarnya, M Punithavalli, 17, ketika Program Ziarah Cakna di rumah pelajar itu di Taman Wawasan, Lukut, Port Dickson.
Pengetua SMK Raja Jumaat, Akashah Ismail (tiga dari kanan) bertanyakan khabar pelajarnya, M Punithavalli, 17, ketika Program Ziarah Cakna di rumah pelajar itu di Taman Wawasan, Lukut, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria

KEKURANGAN diri yang cacat kaki kiri sejak lahir selain ibu yang turut kudung tidak melemahkan semangat seorang remaja untuk terus belajar dan mencapai cita-cita menjadi guru.

Remaja terbabit, M Punithavalli, 17, yang mesra dipanggil Punitha hanya menggunakan kaki palsu selain bergerak menggunakan tongkat ke sekolah.

"Memang pergerakan saya sedikit terbatas kerana perlu dibantu dengan tongkat untuk bergerak namun saya bertuah kerana mempunyai ramai rakan sekelas yang ringan tulang.

“Tahun ini saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berharap dapat menjawab soalan dengan baik kerana mahu melanjutkan pelajaran setinggi yang mampu bagi mencapai cita-cita menjadi guru," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Jumaat, Lukut, Port Dickson.

Punitha berkata, ibunya, J Suppayee, 48, menghidap kencing manis kronik sejak hampir 10 tahun lalu sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong hingga ke paras lutut.

"Kami hanya bergantung kepada ayah, M Murigan, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori dan dua abang sudah bekerja dan tinggal berasingan. Setiap hari saya ke sekolah menumpang kereta kawan yang dihantar bapanya. Katanya, dia dan ibunya tidak mendapat bantuan bulanan mana-mana pihak walaupun mereka ada kad akuan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak dahulu lagi.

"Walau bagaimana pun saya rasa bertuah kerana rakan-rakan dan guru sering membantu dan secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus belajar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wawasan, Lukut

Sementara itu, Pengetua SMK Raja Jumaat, Akashah Ismail berkata, warga sekolah mengadakan program Ziarah Cakna anjuran Guru Bimbingan Kaunseling dengan melawat pelajar kurang berkemampuan.

"Walaupun cacat kaki kiri dan memakai kaki palsu serta dua tongkat namun dia antara murid cemerlang di sekolah.

"Ziarah Cakna ini memberi kesan kerana kita (pihak sekolah) dapat mengenali dan merasai kehidupan pelajar kami yang serba kekurangan di samping memberi semangat untuk terus belajar dengan cemerlang," katanya.

Turut hadir dalam program ini, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Raja Jumaat, Mat Mahmod Tafri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 8:05 PM