Siti Sofia Md Nasir


SYED Saddiq Syed Abdul Rahman enggan memperkecilkan mana-mana pihak yang mahu merebut jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pemilihan parti itu nanti.

Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bertanding secara sihat kerana meraikan demokrasi dalam parti.

“Kita perlu meraikan demokrasi dalam parti. Saya mengalu-alukan saudara Muzammil dan yang lain untuk bertanding secara sihat.

“Saya tidak akan sesekali memperkecilkan pihak lawan kerana saya mahu membuktikan pemilihan ini adalah persediaan untuk kita maju ke hadapan bersatu memperkukuhkan parti,” katanya ketika ditemui di Georgetown , hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Mutiara United FC dan Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang di Stadium Universiti Sains Malaysia (USM).

BH semalam melaporkan, EXCO ARMADA Nasional, Muzzammil Ismail menawarkan diri sebagai calon Ketua ARMADA bagi mencabar Syed Saddiq pada pemilihan parti itu.

Felo Akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) berusia 30 tahun itu menawarkan diri kerana mendakwa mahu mengembalikan sokongan anak muda yang didakwa semakin berkurangan terhadap sayap BERSATU itu.

Dengan pengumuman berkenaan juga, Syed Saddiq dijangka akan berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua pencabar iaitu Muhammad Muzzammil dan Ketua Cawangan Armada Seaview Park, Pulau Pinang, Razalif Mohd Zain, 30.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:33 PM
SYED Saddiq ketika beraksi semasa menentang pasukan MUFA USM pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak dan Pelancaran Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang 2020 di Stadium USM, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
SYED Saddiq ketika beraksi semasa menentang pasukan MUFA USM pada Perlawanan Persahabatan Bola Sepak dan Pelancaran Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang 2020 di Stadium USM, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong