Sri Ayu Kartika Amri


SERAMAI 9,452 calon layak bertanding merebut pelbagai jawatan di 189 bahagian, sempena Pemilihan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Jumlah itu hasil saringan ke atas 11,000 borang pencalonan yang diterima membabitkan 7,371 jawatan sejak pendaftaran calon dibuka 26 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini proses berjalan lancar di semua peringkat.

“Mengikut pecahan, 4,631 calon bertanding bagi jawatan utama di peringkat bahagian, manakala 2,581 calon Srikandi bahagian dan 2,240 bagi Armada bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Syed Hamid berkata, seramai 39 calon ketua bahagian menang tanpa bertanding antaranya, Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Syed Saddiq Syed Abd Rahman (Muar).

Syed Hamid berkata, 45 calon ketua Srikandi bahagian dan 63 calon ketua Armada bahagian juga menang tanpa bertanding.

SYED Hamid (tengah) menandatangani borang pengesahan senarai calon Pemilihan BERSATU, hari ini. FOTO Mustaffa Kamal.
SYED Hamid (tengah) menandatangani borang pengesahan senarai calon Pemilihan BERSATU, hari ini. FOTO Mustaffa Kamal.

“Pemilihan akan berlangsung pada 15 Februari hingga 29 Mac 2020 dengan pengundian cawangan dijalankan dengan secara mengangkat tangan, manakala bahagian akan diberikan kertas undi.

“Jika ada bantahan, kita akan kaji setiap bantahan itu, kita tengok satu persatu,” katanya.

Menurutnya, sebarang bantahan perlu dikemukakan bermula esok sehingga 14 Februari nanti selepas senarai calon diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan BERSATU Negeri.

Ditanya mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang digantung keahlian, beliau berkata Adhif Syan tidak layak bertanding.

Katanya, pemimpin yang digantung keahlian tidak boleh bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 5:24 PM