Ruwaida Md Zain


EXCO Armada Nasional, Muzzammil Ismail menawarkan diri sebagai calon Ketua Armada Nasional Bersatu bagi menentang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada pemilihan parti kali ini.

Felo Akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) berusia 30 tahun itu menawarkan diri bagi mengembalikan sokongan anak muda terhadap Armada yang dikatakan semakin luntur.

“Armada berada dalam keadaan cukup kritikal untuk kita melihat hala tuju ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita lihat kepimpinan perlu diubah, hala tuju perlu lebih jelas untuk membawa roh perjuangan Melayu dan Islam.

“Hari ini, Armada dalam keadaan cukup daif, sebab itu kita menawarkan polisi dan idea untuk mengangkat semula maruah atau martabat Armada terutama sekali dalam membantu sosio-ekonomi mereka untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu pada majlis pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia dan pengumuman calon Ketua Armada Nasional Bersatu di Kelab Shah Alam, Shah Alam, hari ini.

Turut diumumkan, seorang lagi Exco Armada Nasional, Abu Hafiz Salleh Hudin, 31, bertanding jawatan Timbalan Ketua Armada.

Muzzammil berkata, kepemimpinan yang ada hari ini gagal membawa bukan saja Armada, tetapi gagal menarik sokongan anak muda sendiri.

“Rentetan daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai lalu, saluran tiga dan empat kita kalah di semua cawangan kecuali satu cawangan sahaja.

“Ini menunjukkan bahawa gelombang anak muda menolak kepemimpinan Armada secara total. Ini merisaukan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 5:57 PM
EXCO Armada Nasional, Muzzammil Ismail (dua, kiri) dan Abu Hafiz Salleh Hudin (kiri) dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia dan pengumuman calon Ketua Armada Nasional Bersatu di Kelab Shah Alam. FOTO Ruwaida Md Zain
EXCO Armada Nasional, Muzzammil Ismail (dua, kiri) dan Abu Hafiz Salleh Hudin (kiri) dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pertubuhan Angkatan Baru Malaysia dan pengumuman calon Ketua Armada Nasional Bersatu di Kelab Shah Alam. FOTO Ruwaida Md Zain