SEEKOR gajah liar berkeliaran berdekatan gerai menjual buah-buahan di Batu 6, Jalan Kota Tinggi-Mersing. FOTO Facebook Orang Kota Tinggi
SEEKOR gajah liar berkeliaran berdekatan gerai menjual buah-buahan di Batu 6, Jalan Kota Tinggi-Mersing. FOTO Facebook Orang Kota Tinggi
Omar Ahmad

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Johor mengesahkan kehadiran seekor gajah di kawasan kedai menjual buah-buahan di Batu 6, Jalan Kota Tinggi-Mersing (berhampiran dengan Pejabat Renjer Hutan Kota Tinggi) 11 malam kelmarin.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, gajah tersebut dipercayai dari ID Panti dan kesan gajah juga dilihat menghala ke arah Tanah Wakaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang terletak di kawasan berhampiran.

Katanya, terdapat papan amaran lintasan hidupan liar (gajah dan tapir) yang dipasang di lokasi berhampiran bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya tentang kehadiran hidupan liar.

“Kawasan kehadiran gajah itu diterangi oleh lampu jalan dari Hutan Lipur Panti-Simpang Tiga Perani dan merupakan antara kawasan lintasan gajah yang aktif.

“Pengguna jalan raya dinasihati untuk meningkatkan kewaspadaan semasa memandu terutamanya di kawasan yang gelap atau tiada pencahayaan lampu jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan membabitkan hidupan liar terutamanya gajah.

“Jajaran jalan raya yang menghubungkan Kota Tinggi-Mersing (FT003) sepanjang lebih kurang 80 kilometer adalah kawasan lintasan utama hidupan liar termasuk gajah dan tapir,” katanya dihubungi semalam.

Menurut Salman, berdasarkan rekod pihaknya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, ada dua kematian membabitkan gajah betina.

Seekor mati pada tahun lalu dan gajah kedua mati pada 2018. Kedua-duanya dilanggar kenderaan di sekitar daerah ini.

“Kami nasihatkan agar tiada tindakan provokasi dilakukan ke atas gajah terbabit kerana ia merbahaya.

“Segera laporkan kepada kami berkaitan penemuan gajah untuk tindakan susulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 5:12 PM