GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Kluang: Lokasi penemuan dua ekor gajah di tepi Jalan Kahang berhampiran Felda Kahang Barat dekat sini baru-baru ini, dikenal pasti sebagai laluan utama kumpulan gajah berkenaan, kata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor.

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata, justeru, gajah yang dilihat di kawasan itu adalah sebahagian daripada kumpulan berkenaan kerana ia sememangnya laluan dan habitat semula jadi haiwan itu.

Beliau berkata, Perhilitan Johor sudah memasang papan tanda amaran lintasan hidupan liar di sepanjang Jalan Kahang Barat ke Mersing.

"Pihak jabatan juga sudah mengenal pasti kawasan ini sebagai laluan utama bagi kumpulan gajah dan sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa agar tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna laluan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Aminuddin berkata demikian ketika mengulas satu video berdurasi 14 saat menerusi hantaran di Facebook menunjukkan seorang lelaki dalam sebuah kereta yang sedang melalui jalan berkenaan, merakam kelibat dua gajah yang berada berdekatan dengan tepi jalan.

Sebelum ini Perhilitan Johor sudah mengenal pasti tiga kawasan lintasan gajah di negeri itu iaitu Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 4:27 PM