KERATAN akhbar Harian Metro, 6 Februari 2020. FOTO NSTP
KERATAN akhbar Harian Metro, 6 Februari 2020. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

BUKIT Aman sedang memburu saki baki ejen yang menjadi pembekal sindiket pelacuran yang turut memperdagangkan remaja bawah umur.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, pihaknya masih memburu saki baki ahli kumpulan itu.

“Beri sedikit masa untuk kita lengkapkan siasatan. Kita yakin saki baki kumpulan terbabit akan dapat ditahan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan pasukannya menumpaskan ejen terbesar didalangi wanita tempatan berusia 39 tahun yang berperanan sebagai pembekal wanita kepada pusat urut dan hiburan sekitar Lembah Klang.

Fadil berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mengenalpasti sindiket yang aktif mengeksploitasi wanita untuk seks di seluruh negara.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan remaja berusia 17 tahun dan dua lagi wanita Vietnam yang diselamatkan pihaknya, Fadil berkata, mereka akan diberikan perintah perlindungan sementara (IPO) selama 21 hari.

“Kita juga sudah membawa ketiga-tiga mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, dijanjikan kerja sebagai pekerja butik bergaji lumayan namun sebaik tiba di ibu kota, dikurung dan dipaksa melacur oleh sindiket pelacuran tempatan didalangi seorang wanita.

Malah, wanita berusia 39 tahun itu juga dianggap kak long bagi sindiket pelacuran kerana kebanyakan pelacur yang dilanggan adalah 'anak buah'.

Modus operandi wanita itu ialah mencari warga asing dengan mengiklankan pekerjaan sebagai butik di negara ini dengan gaji lumayan di Internet selain menyediakan kemudahan tempat tinggal dan tiket kapal terbang.

Penderitaan semua mangsa yang diperdagangkan ejen terbesar sindiket pelacuran itu sejak lebih setahun lalu berakhir dalam operasi khas hasil kerjasama antara D3 Bukit Aman dan Harian Metro, kelmarin.

Ejen wanita itu dan tiga ahlinya ditahan manakala seorang gadis Vietnam berusia 17 tahun dan 10 wanita warga asing diselamatkan.

Berita berkaitan

'Kak Long' tumpas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 3:44 PM