DR Aishah Ong (empat, kiri)  bersama lima penuntut Terbaik Kursus Program Rancangan Persediaan Khas Jepun Pusat Asasi Sains. FOTO Supian Ahmad.
DR Aishah Ong (empat, kiri) bersama lima penuntut Terbaik Kursus Program Rancangan Persediaan Khas Jepun Pusat Asasi Sains. FOTO Supian Ahmad.
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 49 penuntut Asasi Sains Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur, dipilih melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Jepun.

Pro Canselor UM Toh Puan Dr Aishah Ong berkata, kumpulan penuntut berkenaan akan berlepas akhir Mac depan.

“Sejak program ini bermula pada 1982, ia sudah melahirkan ramai graduan dalam sektor perindustrian yang mempunyai nilai etika amalan kerja cemerlang.

“Pada masa sama, saya menasihatkan semua penuntut supaya menjaga nama baik negara dengan menjaga tingkah laku dan tutur kata memandangkan mereka ibarat duta kecil negara di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Program Rancangan Persediaan Khas (Jepun), hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed; Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia Araki Kaname dan Pengarah Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah.

Sementara itu, seorang penuntut terbaik Maita Izammel Zainoren, 20, berkata, kejayaan dua abang yang melanjutkan pelajaran ke Jepun menjadi inspirasi kepadanya untuk belajar di negara itu.

Katanya, dia bercita-cita belajar di Jepun sejak kecil lagi kerana mahu mengikut jejak langkah dua abangnya.

“Kedua-dua abang belajar dalam jurusan kejuruteraan yang mana seorang daripada mereka di Tokyo Institute of Technology dan seorang lagi di Hiroshima University.

“Walaupun belum tahu universiti mana saya akan ditempatkan, tetapi saya berharap berpeluang menjadi penuntut di Tokyo Institute of Technology memandangkan itu adalah pilihan pertama saya,” katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak, itu berkata, dia akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

Seorang lagi penuntut, Eleazar Lejau Philip, 20, berkata, dia bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai cabaran terutama kekangan masa sepanjang dua tahun mengikuti program berkenaan.

“Jadual kelas saya sangat pada setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Namun, saya bersyukur kerana semua dapat diharungi sehingga berjaya menamatkan kursus, sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan bioteknologi di Jepun,” katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 2:47 PM