NAJURAI  menerima sijil dan plak penghargaan STPM 2014 daripada Pengerusi Lembaga Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin  di Selayang, semalam.
NAJURAI menerima sijil dan plak penghargaan STPM 2014 daripada Pengerusi Lembaga Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin di Selayang, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan dan Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: “Saya mahu buktikan bahawa Orang Asli juga boleh berjaya dalam pelajaran,” kata Najurai Agus, 20, selepas diumumkan Calon Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 Kategori Orang Asli, semalam.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak, itu meraih gred A dalam empat mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Pengajian Perniagaan, Sejarah dan Bahasa Melayu.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, anak Orang Asli juga boleh berjaya sekiranya berusaha gigih mengejar cita-cita.

“Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia (UPM) kelak dan akan berusaha bersungguh-sungguh jika betul mahu mengubah nasib keluarga.

“Saya bersyukur dan gembira kerana mampu membuatkan ibu dan bapa saya bangga dengan kejayaan ini, dan saya akan buktikan dengan lebih kejayaan di masa depan nanti,” katanya.

Beliau dan Farah Syahera Chin, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun, Perak, menjadi wakil Calon Terbaik STPM Kategori Orang Asli yang diumumkan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, di sini, semalam.

Sementara itu, Calon Terbaik STPM 2014 bagi Kategori Bandar, Lim Kai Yik, 20, berkata ibu bapa adalah pendorong terhadap kejayaannya ini.

Katanya, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang kejuruteraan demi mengubah nasib keluarganya.

Selain Lim, Kategori Bandar turut disandang Ho Kar Meng, Khor Siew Ching, Fong Jian Yip, Neoh Yong Seng dan Denedy Wong Siong Yong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:05 AM