Bot pam dalam keadaan mencurigakan oleh anggota PPM. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Bot pam dalam keadaan mencurigakan oleh anggota PPM. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
Abdul Rahemang Taiming

TIGA lelaki termasuk seorang juragan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas cuba menyeludup barang kawalan tanpa permit di kawasan perairan Pulau Mataking, Semporna, Sabah, kelamrin.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, bot pam dikendalikan juragan bersama dua awak-awak ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota PPM selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati semua suspek warga tempatan berumur antara 15 hingga 60 tahum

Bagaimanapun katanya, ketika disoal siasat juragan terbabit memberi pelbagai helah selain menyatakan hala tuju yang tidak menentu.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan tiga tong jerikin masing-masing berisi 25 liter minyak petrol, 85 bungkus paket minyak masak dan barang-barang runcit.

“Juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan bersama barang rampasan, bot pam bersama enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM 4,812.00 dibawa ke Markas Operasi (PPM) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama peraturan peraturan kawalan bekalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 2:02 PM