ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup 335 liter minyak petrol melalui kawasan perairan Bohey Dulang, dekat Semporna, semalam.

Dalam kejadian 10 malam itu, sepasukan anggota bot ronda PPM berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, siasatan awal mendapati seorang juragan bersama pembantunya, masing-masing berumur 50 dan 20 tahun, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek membawa muatan sebanyak 16 tong pelbagai saiz yang mengandungi minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina.

“Juragan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohamad Pajeri lagi, tangkapan bersama barang rampasan termasuk bot pam bersama enjin sangkut bernilai RM4496.80 dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan denda hingga RM1 juta seorang dan penjara tiga tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata, Operasi PPM sempena musim Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 dilanjutkan sehingga Perayaan Tahun Baharu Cina di seluruh perairan Sabah.

“Anggota PPM komited dalam melaksanakan operasi termasuk pada musim perayaan demi memerangi jenayah rentas sempadan seperti aktiviti penyeludupan dan lain-lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 9:13 AM