TAN Sri Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) beramah mesra dengan pelajar yang terlibat pada Sesi Perbicaraan Olok-Olok selepas melancarkan 'Dari Bilik Bicara Ke Bilik Darjah (MYC2C)' di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
TAN Sri Tengku Maimun Tuan Mat (tengah) beramah mesra dengan pelajar yang terlibat pada Sesi Perbicaraan Olok-Olok selepas melancarkan 'Dari Bilik Bicara Ke Bilik Darjah (MYC2C)' di Maktab Sultan Ismail (SIC), Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Rohana Idris


PENGENALAN program ‘Dari Bilik Bicara ke Bilik Darjah (MYC2C) sejak tahun lalu memberikan impak positif kepada generasi muda dalam memahami secara jelas sistem kehakiman dan perundangan negara.

Ia secara tidak langsung membolehkan orang ramai tidak keliru atau mewujudkan persepsi negatif berikutan masih ramai tidak memahami prosiding sesebuah kes di mahkamah.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, program itu diusahakan badan kehakiman negara dalam meningkatkan literasi undang-undang terutama kepada pelajar.

Menurutnya, ia juga sebagai pendedahan awal mengenai sistem dan fungsi badan kehakiman serta perundangan negara.

“Program ini diperkenalkan sejak April tahun lalu dan sambutan yang diterima daripada pelajar agak menggalakkan kerana memberi kefahaman kepada mereka terutama dari segi prosiding sesuatu kes.

“Ia dijalankan menerusi tiga modul utama iaitu ‘Hakim ke Sekolah’ di mana Hakim atau pegawai kehakiman akan memberi ceramah di sekolah mengenai topik yang membabitkan kehakiman dan perundangan.

“Seterusnya adalah ‘Peguam Muda’ iaitu perbicaraan olok-olok membabitkan pelajar yang masing-masing membawakan watak ketika prosiding perbicaraan di mahkamah sebelum modul terakhir iaitu ‘Lawatan ke Mahkamah’,” katanya ketika sidang media di Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Azahar Mohamed; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Tengku Maimun berkata, selain Maktab Sultan Ismail, program MYC2C sudah dijalankan di sebuah sekolah di Putrajaya tahun lalu dan akan ke Mukah, Sarawak pada Julai ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan perjalanan program, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengambil inisiatif mewujudkan Portal MYC2C sebagai medium dalam talian untuk memberikan maklumat dan perkembangan semasa.

“Portal MYC2C boleh diakses melalui pautan www.MYC2C.kehakiman.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 2:50 PM