Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf
BERNAMA

BADAN Kehakiman melakar sejarah sekali lagi apabila Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusuf dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi badan itu.

Pelantikan Rohana, 63, yang berasal dari Bachok, Kelantan itu berkuat kuasa hari ini.

Pada 2 Mei lepas, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi badan itu.

Sementara itu, tiga lagi hakim wanita Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Yusof, 54; Datuk Zabariah Mohd Yusof, 60, dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, 60, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ia menjadikan enam wanita memegang jawatan hakim mahkamah tertinggi negara ini daripada 13 hakim.

Terdahulu Rohana mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Rayuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid di Istana Kehakiman, Putrajaya manakala ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan baharu mengangkat sumpah di hadapan Tengku Maimun.

Turut dilantik Hakim Mahkamah Rayuan ialah Datuk Abu Bakar Jais, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Nantha Balan E.S. Moorthy yang ketiga-tiganya adalah Hakim Mahkamah Tinggi manakala dua Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah dan Datuk Azmi Abdullah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi berkuat kuasa hari ini.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat (duduk dua, kiri) bergambar bersama sembilan hakim yang dilantik di majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA
Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat (duduk dua, kiri) bergambar bersama sembilan hakim yang dilantik di majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA

Rohana yang hadir bersama keluarganya memperoleh LLB (Hons) dari Universiti Malaya pada 1980 dan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1980 sebagai Penolong Penggubal, Undang-Undang (Parlimen) di Jabatan Peguam Negara.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 September 2005 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 17 April 2007.

Pada 8 Januari 2013, Rohana dilantik pula sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 27 April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 10:33 PM