GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak antara 2020 dan 2021 menunjukkan peningkatan mendadak iaitu hampir 42 peratus.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun TuanMat berkata, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah masalah serius, oleh itu Badan Kehakiman mengadakan dialog dengan Badan Eksekutif untuk mewujudkan lebih banyak mahkamah jenayah seksual kanak-kanak.

Beliau berkata, ia membabitkan tambahan bilangan jawatan yang diperuntukkan kepada Badan Kehakiman untuk mendengar kes sedemikian.

"Kami berharap langkah ini membantu mengurangkan bilangan (jumlah kes)," katanya dalam ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Difahamkan, mahkamah jenayah seksual kanak-kanak akan diwujudkan di Johor Bharu, Johor dan Petaling Jaya sebagai tambahan kepada mahkamah sedia ada di Putrajaya dan Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, kes jenayah jalanan mengalami penurunan yang berterusan antara tempoh 2017 sehingga 2021.

Kata beliau, 2021 mencatatkan jumlah terendah dengan penurunan 57.5 peratus dalam bilangan pendaftaran kes.

"Mungkin penguatkuasaan pelbagai perintah kawalan pergerakan dan sekatan menyebabkan kurangnya kesalahan jenayah sedemikian yang mungkin menjelaskan sebab penurunan ini," katanya.

Bagi kes pemerdagangan manusia pula, Tengku Maimun berkata, bilangan kes tidak menunjukkan perbezaan ketara bagi tempoh empat tahun terakhir walaupun bilangan pendaftaran menunjukkan trend penurunan.

Beliau berkata, pandemik banyak mengurangkan pergerakan masuk ke dalam dan luar negara dan kemungkinan penurunan jumlah kes daripada 402 kes pada 2020 kepada 333 kes pada 2021 adalah disebabkan oleh faktor itu.

Katanya, bagaimanapun statistik menunjukkan bahawa terdapat juga sedikit penurunan kes antara 2018 dan 2019 sebelum pandemik.

"Kami mengambil berat mengenai penurunan dalam 'ranking' antarabangsa. Bagaimanapun, adalah difahami bahawa dalam sistem adversarial seperti kita, mahkamah tidak berupaya untuk mengambil langkah aktif bagi menghapuskan pemerdagangan manusia.

"Walaupun kes sedemikian dibawa di hadapan mahkamah, hakim mesti memutuskannya mengikut undang-undang, fakta dan bukti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 3:01 PM