Mohd Haris menunjukkan lastik yang digunakan oleh suspek sebelum melakukan pecah rumah. FOTO JUWAN RIDUAN
Mohd Haris menunjukkan lastik yang digunakan oleh suspek sebelum melakukan pecah rumah. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


MELASTIK batu ke tingkap rumah dan jika tiada tindak balas, mereka akan memecah masuk sebelum melarikan kenderaan, wang serta barangan berharga.

Itulah taktik Geng Lastik yang berjaya ditumpaskan pada serbuan di sebuah pangsapuri di Manggatal, Kota Kinabalu, 17 April lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam serta risikan.

"Pada operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kami dapat menahan dua ahli Geng Lastik manakala seorang lagi masih diburu.

"Dua suspek yang ditahan berusia 27 dan 37 tahun. Suspek yang sedang dikesan dikenali sebagai Eddy Christopher Jinni, berumur 34 tahun.

"Ketiga-tiga suspek ini mengenali satu sama lain ketika menjalani hukuman penjara pada 2014. Mereka terbabit dengan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan kerugian kira-kira RM838,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Menurut beliau, geng Lastik aktif di sekitar daerah ini, Kota Kinabalu, Papar, Tuaran dan Kota Belud.

"penahanan suspek membawa kepada penemuan beberapa barangan berharga serta empat kenderaan yang dicuri mereka sebelum ini.

"Kenderaan ditemui ialah Honda Jazz, Honda HRV, Toyota Vios serta Isuzu D-Max," katanya.

Kedua-dua suspek direman lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk pecah rumah dan Seksyen 379A akta sama untuk kesalahan curi kenderaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Eddy Christopher Jinni diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:14 PM