MEGAT Mohamad Aminuddin (tengah) menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas daripada sindiket.
MEGAT Mohamad Aminuddin (tengah) menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas daripada sindiket.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Setiap ahli kumpulan penjenayah diberikan tugas khusus sebagai pakar curi kereta, pakar menguruskan dokumen palsu selain ejen memasarkan kenderaan dicuri.

Itu antara perancangan rapi sindiket curi kenderaan profesional yang dikesan aktif mencuri ratusan kenderaan di sekitar Selangor sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan sindiket itu bergerak dalam empat kumpulan kecil bagi memudahkan operasi berkenaan.

Taktik sindiket curi kenderaan itu bagaimanapun berjaya dibongkar sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hasil penahanan 10 individu yang terbabit dalam kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, semua suspek lelaki berusia lingkungan 21 dan 62 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dalam operasi sekitar Ipoh, Perak dan ibu kota sejak seminggu lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati setiap penjenayah itu mempunyai peranan masing-masing termasuk sebagai ‘pengurus’ dokumen palsu, ejen menjual kereta curi selain pencuri kereta.

“Suspek biasanya menggunakan kunci pendua selain memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan diri,” katanya.

Dalam kejadian terbaru, sindiket itu dipercayai melarikan kereta Proton Waja pada 20 Julai lalu di Seri Kembangan, di sini, sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan.

Megat berkata, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di daerah ini.

“Penahanan semua suspek ini membawa penemuan kepada lapan kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini membabitkan model Honda City, Honda Civic, Toyata Vellfire, Perodua Kelisa, Honda Hrv dan Proton Waja.

“Polis masih memburu saki-baki sindiket itu yang bebas berdasarkan keterangan suspek yang ditahan. Kes ini disiasat mengikut 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:12 AM