Abdul Rahemang Taiming


LELAKI mengalami kecederaan parah dan patah kaki selepas dipercayai terjun dari tingkat lima sebuah pusat membeli-belah di Jalan Kuhara, Tawau, tengah hari tadi.

Kejadian 12.10 tengah hari itu disedari orang ramai selepas terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati mangsa terlentang di bumbung Proton Saga yang diparkir berhampiran di lokasi kejadian.

Pemandu kereta terbabit, seorang wanita berumur 30-an bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Menurut saksi, Suriayati Ibrahim 28, mangsa sering kelihatan berlegar-legar di pusat membeli belah berkenaan sambil bercakap seorang diri selain dipercayai mengalami tekanan jiwa.

“Kejadian sangat pantas, selepas dengar bunyi dentuman tadi saya sangka ada kemalangan, tetapi sebaik melihat orang ramai berkumpul rupa-rupanya mangsa terjun bangunan dan menghempap sebuah kereta.

“Ketika itu mangsa masih sedarkan diri dan berada dalam keadaan kesakitan sebelum orang ramai menghubungi polis dan ambulans,” katanya yang bekerja sebagai pengurus jualan kedai aksesori wanita di pusat membeli-belah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif kejadian.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:55 PM