MAYAT mangsa ditemui orang awam awal pagi tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MAYAT mangsa ditemui orang awam awal pagi tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kecederaan parah di kepala dipercayai terjun dari tingkat lima sebuah pusat membeli-belah di Jalan Kuhara, dekat sini, awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian 3.25 pagi itu, mangsa yang masih belum diketahui identiti ditemukan orang awam terbaring di siar kaki berhampiran tempat letak kereta di belakang bangunan berkenaan.

Menurut pekerja di situ yang enggan namanya disiarkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa memasuki pusat membeli-belah melalui laluan kenderaan ke kawasan tempat letak kereta bertingkat di bangunan itu.

Katanya, semua pintu ke pusat membeli-belah itu ditutup selepas jam 8 malam dan mangsa dikatakan menggunakan laluan terbabit sehingga ke tingkat lima bangunan sebelum terjun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

"Mangsa disyaki terjun dan setakat pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk motif atau punca sebenar mangsa bertindak sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 11:05 AM