Antara GRO yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Antara GRO yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


PUSAT karaoke terkenal di Endau, Mersing, bukan sahaja menyediakan dadah sebaliknya turut menggunakan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Premis yang kononnya kebal kerana dilindungi tonto itu bagaimanapun berjaya diserbu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 1 pagi, Ahad lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menahan 20 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai GRO bersama tiga penjaga premis warga tempatan.

“Ada antara GRO terbabit dan beberapa pelanggan cuba melarikan diri serta bertindak agresif ketika serbuan hingga menyebabkan berlaku pergelutan. Namun semuanya dapat dikawal.

“Dalam serbuan itu, 23 ditahan membabitkan 20 GRO warga Vietnam, dua lelaki serta seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM4,350 yang dipercayai diperoleh hasil perniagaan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, premis itu dikatakan kebal kerana dikawal ketat tonto yang akan menyampaikan maklumat kepada penjaga premis terbabit sekiranya menghidu kehadiran pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayaran dikenakan bagi khidmat GRO adalah RM70 bagi tempoh masa satu jam. Premis itu juga menawarkan beberapa jenis dadah kepada pelanggan dengan harga antara RM60 hingga RM250.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan AADK mendapati tujuh daripada pelanggan positif dadah,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sebanyak 37 Borang Saman Saksi dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis itu supaya hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti membabitkan warga Vietnam itu adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Mersing untuk proses dokumentasi. Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:27 PM