Suspek ditahan polis. FOTO Ihsan pembaca
Suspek ditahan polis. FOTO Ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI yang bertindak liar sehingga mencederakan penduduk kampung dengan senjata tajam akibat pengaruh dadah berjaya ditahan pihak polis, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata suspek, 30, dikatakan mengamuk dan melibaskan parang terhadap orang ramai yang lalu lalang berhampiran rumahnya di Parit Tali Air Simpang 5, di Parit Buntar, 4 pagi Ahad lalu.

Katanya, penduduk kampung cuba menenangkannya yang berada di bawah pengaruh dadah, namun suspek bertindak liar dan mencederakan tangan seorang penduduk kampung.

“Bagaimanapun, mangsa berusia 40-an hanya luka di tangan dan pihak polis menjalankan gerakan mengesan suspek sebaik menerima aduan.

“Pada 6.30 petang semalam, suspek sekali lagi mengamuk dengan memegang parang sambil menjerit.

“Suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis. Lelaki itu yang positif dadah heroin dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 2:36 PM