SUSPEK. FOTO Mohd Rizal Abdullah
SUSPEK. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah

LELAKI ditahan selepas menyerang ahli keluarganya menggunakan parang dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Pujut, di Miri, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, suspek berusia 28 tahun dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum mencapai senjata berkenaan dan melibas parang berkenaan ke arah anggota keluarganya.

Sumber memberitahu NSTP, melihatkan kelakuan suspek yang semakin tidak terkawal, anggota keluarganya bertempiaran lari menyelamatkan diri sebelum menghubungi polis untuk meminta bantuan.

“Bagaimanapun, setakat ini belum diketahui punca suspek bertindak sedemikian, namun pemuda berkenaan dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mengamuk apabila kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditangkap tidak lama kemudian bersama parang digunakannya sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan rekod mendapati suspek pernah ditahan polis sebelum ini atas kesalahan dadah dan menceroboh kediaman penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 2:05 PM