SUSPEK kes amuk ditahan polis. FOTO Ihsan Polis.
SUSPEK kes amuk ditahan polis. FOTO Ihsan Polis.
Erika George


Miri: Lelaki ditahan selepas mengamuk dan melibaskan sebilah parang kepada ibunya di Rumah Panjang Sungai Tiris Sibuti, dekat sini, Selasa lalu.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di tepi jalan berhampiran pekan berkenaan pada 12.15 tengah hari sejurus menerima laporan berhubung kes amang dengan menggunakan senjata tajam itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian amuk itu dan menggerakkan sepasukan polis untuk mencari serta menangkap suspek.

"Mangsa dikatakan mengamuk pada pagi hari kejadian di Rumah Panjang Sungai Tiris Sibuti serta melibas sebilah parang ke arah ibunya.

"Nasib baik ibunya berjaya melarikan diri dan tidak dicederakan anak lelakinya itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah parang yang digunakan mangsa ketika melakukan ugutan untuk mencederakan ibunya itu.

Alexson berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan serta ancaman kepada ibu kandungnya sendiri.

"Kes masih disiasat dan lelaki itu masih ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:16 PM