MAZLAN (dua dari kanan) bersama Zairulnizam (dua dari kiri) menunjukkan lakaran suspek ahli Geng Ah Wai yang masih bebas dan kini diburu polis pada sidang media di IPD Brickfields, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim.
MAZLAN (dua dari kanan) bersama Zairulnizam (dua dari kiri) menunjukkan lakaran suspek ahli Geng Ah Wai yang masih bebas dan kini diburu polis pada sidang media di IPD Brickfields, hari ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Kuala Lumpur menumpaskan lima ahli Geng Ah Wai yang aktif melakukan jenayah samun, pecah rumah dan curi kenderaan dalam serbuan berasingan pada 31 Disember hingga 6 Januari lalu.

Kejayaan itu hasil risikan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields susulan laporan kes pecah rumah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis menerima laporan kejadian pecah rumah oleh seorang lelaki berusia 59 tahun di Taman Tun Dr Ismail, pada 16 Disember lalu.

“Hasil siasatan, polis menahan empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia antara 26 hingga 33 tahun di sekitar Lembah Klang antara 31 Disember hingga 6 Januari lalu.

“Polis turut merampas empat kenderaan mewah, beg tangan pelbagai jenama, pelbagai peralatan curi kenderaan dan pecah rumah dianggarkan bernilai RM1.1 juta,” katanya pada sidang media di IPD Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi.

Mazlan berkata, hasil penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan, malah pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu terbabit dengan lebih 30 kes lain.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, suspek utama menyewa sebuah unit kondominium di Sri Hartamas yang dijadikan sebagai markas pertemuan untuk merancang aktiviti jenayah mereka.

“Mereka didapati giat melakukan jenayah sama di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor sebelum datang ke Lembah Klang pada Oktober lalu.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif syabu.

“Selain lima suspek itu, kami dapati kumpulan terbabit turut disertai dua lagi ahli iaitu seorang daripadanya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah manakala seorang lagi masih bebas dan sedang giat dikesan.

“Mereka direman sehingga 13 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 3:01 PM