Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan semalam selepas dipercayai terbabit dengan kes kecurian motosikal di kawasan parkir di Stesen Monorel Tun Sambathan, di sini, pada 30 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis bantuan berusia 29 tahun yang memaklumkan motosikal miliknya diletakkan di lokasi berkenaan hilang.

"Berdasarkan keterangan mangsa, dia menyedari motosikal itu hilang selepas selesai bertugas dan mengesyaki kenderaan berkenaan dicuri kerana kali terakhir ia dilihat jam 12.30 malam hari sama.

"Ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Pantai melakukan tugas ronda cegah jenayah, mereka menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di hadapan blok sebuah flat di Pantai Dalam jam 11 malam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan kami mendapati motosikal dinaikinya dilaporkan hilang di kawasan parkir di Stesen Monorel Tun Sambathan pada 30 Julai lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod membabitkan kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 10 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 8:13 PM