ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan pecah spa dan pusat kecantikan di Sri Hartamas di sini, yang membabitkan kerugian RM32,700 pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima laporan kejadian daripada seorang wanita berusia 32 tahun yang mendakwa kedainya dipecah masuk dan kehilangan pelbagai peralatan serta kotak barangan suntikan vitamin kesihatan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menjalankan siasatan dan menahan suspek di lokasi berasingan.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun di Damansara pada 5.30 petang, 8 Januari lalu. Polis merampas sebuah telefon bimbit dan kad bank.

"Suspek yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau tidak mengaku terbabit kejadian itu dan mendakwa menyewakan kad bank kepada seorang lelaki dikenali Ah Hoo dengan kadar sewa RM1,200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, atas maklumat suspek pertama itu polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Pekan Ayer Hitam, Kedah, pada 6.53 pagi, 9 Januari lalu.

Beliau berkata, polis juga merampas beg, dua buku cek dan dua telefon bimbit daripada suspek.

"Polis kemudian menahan seorang wanita berusia 33 tahun di Setapak, pada 12.10 tengah malam Jumaat. Polis berjaya merampas pelbagai barangan disyaki curi antaranya televisyen, kipas, dapur elektrik, pemanas air, mesin pencuci kereta, penyedut hampagas, beg galas serta pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk pecah kedai.

"Pada 5.44 pagi hari sama, polis menahan pula seorang lelaki berusia 46 tahun di Jalan Gombak dan merampas dua alat pendingin hawa.

"Soal siasat dilakukan, kedua-dua suspek tidak mengaku terbabit jenayah itu. Suspek wanita mendakwa barang dirampas hasil kegiatan jenayah dilakukan oleh teman lelakinya yang masih bebas. Manakala suspek lelaki pula mendakwa barang dirampas hasil kegiatan jenayah dilakukan oleh dua lelaki dikenali Ah Tiong dan Ah Boon," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek itu direman empat hari sehingga 18 Januari bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 8:14 AM