PROJEK monorel di Putrajaya yang terbengkalai sebelum ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
PROJEK monorel di Putrajaya yang terbengkalai sebelum ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Samadi Ahmad


PROJEK monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan direalisasikan menjelang 2025.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan akan meneruskan laluan monorel yang sebelum ini ditangguhkan pada pertengahan 2004 diterajui Kementerian Pengangkutan dan bukan di bawah Perbadanan Putrajaya (PPj) sepenuhnya.

Beliau berkata, pembinaan laluan monorel itu bukan hanya di kawasan Putrajaya, malah melangkaui luar kawasan membabitkan jajaran baharu dari Cyberjaya, Bangi dan Kajang.

“Pembinaan di Putrajaya ini akan mengikut perancangan asal yang memberi manfaat kepada warga pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini termasuk pelancong luar,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020, hari ini.

Turut hadir, Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Rosida Jaafar.

Pada majlis itu, Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan logo Jubli Perak Putrajaya 2020 dimenangi Muhammad Zaidi Abdullah yang menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta medal.

Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 akan berlangsung bermula Januari sehingga hujung tahun itu dengan dipenuhi 14 acara khas antaranya menanam kapsul masa yang akan dilakukan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pada 29 Ogos.

Mengikut perancangan asal, monorel berkenaan dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6km dengan enam stesen.

Khalid berkata, perkhidmatan monorel itu akan melengkapkan sistem pengangkutan awam di pusat pentadbiran itu yang dibangunkan dengan sistem infrastruktur ketika pembinaan dahulu antaranya jambatan dan terowong.

Beliau berkata, baru-baru pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama MOT dan jajaran yang baru ditetapkan dalam kawasan Putrajaya kekal seperti dirancang.

Katanya, projek itu akan dibangunkan dengan perancangan lain termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dimasukkan sekali di kawasan Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, 97 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju untuk menjual tanah milik mereka dengan nilai baharu ditawarkan kerajaan.

Katanya, beliau yakin penduduk Kampung Baru akan bersetuju kerana tawaran itu cukup baik dan adil, sekali gus melahirkan beribu-ribu jutawan Melayu dan boleh menghasilkan penambahan hak milik Melayu di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:17 PM