Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendapati berlaku pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya membabitkan sejumlah RM812.91 juta, setakat 31 Disember 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pembaziran itu membabitkan penangguhan projek monorel di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM797.18 juta termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.

Beliau berkata, tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah, manakala depoh bas di Presint 14 yang tidak digunakan berjumlah RM12.21 juta, selain penggunaan infrastruktur 'park & ride' tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta.

Katanya, dapatan audit juga mendapati tiga daripada enam enam mod pengangkutan yang disasarkan masih belum digunakan.

Selain monorel, dua lagi mod pengangkutan itu adalah trem dan pengangkutan air.

"Infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.

"Pembangunan infrastruktur monorel belum siap sepenuhnya manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan trem belum dibangunkan.

"Penangguhan projek monorel menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai dan satu pembaziran sekiranya infrastruktur telah dibangunkan tidak dimanfaatkan," katanya dalam sidang media LKAN itu di sini, hari ini.

LKAN memaklumkan, sistem berasaskan rel yang dicadangkan adalah sistem transit aliran ringan (LRT) dengan laluan bawah tanah, namun pada Jun 1997 ia ditukar kepada monorel.

Pun begitu, Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan justifikasi pertukaran projek LRT kepada monorel kerana tiada dokumen sokongan diperoleh.

Laporan itu menyebut, pelaksanaan projek monorel membabitkan dua laluan iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km) manakala Laluan 2 sepanjang 6km dengan stesen monorel sudah dibina di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7, tetapi masih belum siap sepenuhnya.

"Lawatan fizikal audit pada 16 Ogos 2022 mengesahkan bahawa sebahagian infrastruktur seperti kerangka asas bagi terowong, tiang-tiang bagi landasan dan jambatan untuk monorel sudah dibina.

"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur monorel itu ditangguhkan pada 2004. Pihak audit tidak dapat mengesahkan justifikasi penangguhan projek monorel itu kerana tiada dokumen sokongan diperoleh," katanya.

Pada masa sama, Nik Azman berkata, sasaran penduduk di Putrajaya pada 2020 iaitu seramai 281,500 individu tidak dicapai sedangkan jumlah penduduk mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan seramai 109,202 penduduk.

Beliau berkata, sebanyak 22,452 daripada 35,000 unit kuarters yang disasarkan dibina oleh Putrajaya Holdings (PjH) bagi kemudahan penjawat awam manakala status pembinaan baki 12,548 unit kuarters belum ditetapkan kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, sehingga 31 Disember 2021, seramai 17,847 penjawat awam masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters.

"Penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan tidak selaras dengan pembangunan perumahan penjawat awam Malaysia berdensiti tinggi. Ruang lantai kasar (gross floor area) bagi ruang komersial sedia ada masih belum digunakan sepenuhnya dengan aktiviti perdagangan.

"Sebanyak 50 peratus daripada 0.13 juta meter persegi ruang komersial yang dimiliki PjH di Nusa Perdana belum terjual atau disewa," katanya.

Berikutan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengkaji semula pelan pembangunan agar dapat diselaraskan dengan perubahan konsep pembangunan Putrajaya.

NIK Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NIK Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:45 PM