PERTUNJUKAN bunga api sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 dan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 di Dataran Putrajaya. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
PERTUNJUKAN bunga api sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 dan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 di Dataran Putrajaya. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Siti A’isyah Sukaimi


TAHUN baharu 2020 merupakan genap usia 25 tahun Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, sekali gus detik bersejarah buat Putrajaya yang menyambut Jubli Perak.

Justeru, kemeriahan sambutan berkenaan akan diraikan sepanjang tahun 2020 dengan pelbagai acara, program serta pengisian yang dibawakan khas bermula Januari ini.

Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Putrajaya, Presint 3, iaitu tokoh bertanggungjawab membuka Putrajaya pada 25 tahun lalu.

Kemuncak sambutan adalah pada 29 Ogos 2020 yang mana Kapsul Masa ditanam sendiri oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 1995 iaitu 25 tahun lalu akan dikeluarkan dan dibuka.

Menerusi ucapan ringkasnya, beliau melahirkan rasa gembira kerana berkesempatan menyaksikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya yang mencecah usia 25 tahun.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sebenarnya saya tidak mimpi untuk lihat acara seperti ini.

“Tetapi kerjasama, perpaduan kestabilan dan keamanan negara ini sehingga dapat kita bangunkan sebuah ibu kota pentadbiran yang gilang-gemilang. Sayangilah Putrajaya dan sayangilah Malaysia negara kita bersama,” katanya, hari ini.

Acara berkenaan dihadiri puluhan ribu pengunjung yang menanti detik sambutan kemuncak tahun baharu 2020.

Bertambah meriah, sambutan berkenaan menjadi penutup tirai kepada Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 yang dianjurkan selama empat hari bermula 28 Disember lalu.

Pada masa sama, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa kira-kira sejam di acara berkenaan serta menyaksikan

projeksi pemetaan cahaya mega dipaparkan pada bangunan Istana Kehakiman.

Bagaimanapun, beliau dan isteri tidak menyertai detik kiraan ambang tahun baru 2020 kerana perlu menghadiri acara sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Oleh kerana saya terpaksa beredar untuk melihat satu lagi acara di Dataran Merdeka. Saya ingin ucap selamat tahun baharu kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Acara itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:13 AM