TAPAK projek MRT bagi laluan SSP.
TAPAK projek MRT bagi laluan SSP.
Najib merasmikan majlis pecah tanah laluan MRT bagi laluan SSP Putrajaya, semalam disaksikan (dari kiri) Tengku Adnan, Abdul Rahman, Liow dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporations Sdn Bhd, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ali.
Najib merasmikan majlis pecah tanah laluan MRT bagi laluan SSP Putrajaya, semalam disaksikan (dari kiri) Tengku Adnan, Abdul Rahman, Liow dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporations Sdn Bhd, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ali.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerajaan yakin pembinaan projek Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) membantu melonjakkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Lembah Klang sebagai bandar berkelas dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Laluan SSP sejauh 52.2 kilometer (km) itu dibina dengan kos RM32 bilion dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku kedua 2022, selain mampu menampung keperluan penduduk di Putrajaya dan Cyberjaya.

Beliau berkata, laluan itu memendekkan masa perjalanan dari Putrajaya ke Kuala Lumpur kira-kira 30 minit.

“Saya difahamkan laluan ini (SSP) mempunyai stesen pertukaran dengan perkhidmatan kereta api sedia ada seperti KTM Komuter, Projek Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR).

“Sebaik siap kelak, laluan SSP akan mempunyai bilangan penumpang harian lebih besar iaitu 530,000 orang, manakala Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) pula memenuhi keperluan 440,000 penumpang sehari,” katanya pada majlis pecah tanah Laluan MRT SSP di Putrajaya Sentral di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Katanya, Laluan SSP akan mempunyai 37 stesen dengan 11 stesen bawah tanah membabitkan laluan sepanjang 13.5 km.

Najib berkata, beliau yakin usaha membangunkan jajaran pengangkutan awam moden dan cekap itu meningkatkan tahap bandar berkenaan sebagai kawasan sesuai didiami.

Menurutnya, Laluan MRT SSP menjadi detik bersejarah buat pembangunan prasarana pengangkutan awam di Malaysia kerana ia projek penuh makna, selain lambang pemodenan Malaysia.

“Jajaran perkhidmatan awam itu membentuk kemudahan pengangkutan perjalanan rakyat di ibu kota dan di Lembah Klang.

“Sebelum ini, saya melancarkan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di mana kedua-dua jajaran pengangkutan awam ini adalah manifestasi dan lambang serta komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk melakukan transformasi besar terhadap pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 11:43 AM