Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dilantik sebagai pemaju projek dan pemilik aset Projek Mass Rapid 3 (MRT 3) Laluan Lingkaran yang diluluskan kerajaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong berkata, tender akan dibahagikan kepada lima pakej utama dan akan bermula pada Mei ini.

"Lima pakej utama adalah untuk dua kontraktor turnkey untuk kerja bertingkat, satu kontraktor turnkey untuk kerja bawah tanah, satu untuk sistem rel bersepadu dan satu perunding pengurusan projek untuk bekerjasama dengan pemaju projek iaitu MRT Corp.

"Kerajaan akan membiayai projek terbabit, manakala sektor swasta akan membiayai beberapa kos pendahuluan. Butiran skim pembiayaan adalah berbeza antara satu pakej dengan pakej lain," katanya pada sidang media mengenai MRT 3 di Bangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim, Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Md Taha, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Datuk Seri Darwis Abdul Razak serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah.

Wee berkata, projek itu adalah laluan terakhir yang amat penting untuk melengkapkan rangkaian rel di ibu kota ini.

"Sistem rel transit yang lengkap akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

"Laluan Lingkaran ini akan disambungkan dengan jajaran transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel sedia ada melalui 10 stesen pertukaran," katanya.

Beliau berkata, salah satu pertukaran utama adalah Titiwangsa yang akan menjadi hab pelbagai mod yang mengintegrasikan empat laluan rel dan hab bas bandar.

"Rangkaian transit yang lengkap akan membolehkan kerajaan memperkenalkan lebih banyak langkah seperti fi kenderaan dan alam sekitar untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan jejak karbon," katanya.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata, pembinaan MRT 3 adalah hasil pelbagai kajian dan perbincangan sepanjang tahun lalu berikutan kelulusan daripada kerajaan untuk MRT Corp menjalankan kajian teknikal pada April tahun lalu.

"Tahun lalu, kami berkongsi beberapa pandangan mengenai bagaimana MRT 3 akan direka bentuk.

"Pendekatan kami kini adalah holistik serta konsisten dengan prinsip reka bentuk terbabit, penjajaran memberikan pelbagai faedah, penjanaan nilai tinggi untuk ekonomi, penggunaan kos dan mekanisme pembiayaan optimum selain memacu nilai sisa (residual value) berpanjangan," katanya.

Beliau berkata, penjajaran MRT 3 akan merangkumi kesalinghubungan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan di bandar dan pembinaan sebuah hab transit pelbagai mod.

"Melalui pelaksanaannya, projek ini bakal meningkatkan keupayaan syarikat dan bakat di Malaysia untuk bersaing di luar negara.

"Selepas projek dimulakan nanti, kami akan memberi beberapa taklimat untuk berkongsi butiran lanjut mengenai pelan tindakan MRT 3.

"Kos pembinaan MRT 3 Laluan Lingkaran ini dianggarkan sama dengan Laluan MRT Putrajaya iaitu sekitar RM31 bilion. Namun, kos sebenar pembinaan itu akan diketahui selepas tender terbuka selesai," katanya.

Katanya, jajaran MRT 3 Laluan Lingkaran akan bakal melingkari pinggiran bandaraya Kuala Lumpur dan mempunyai jajaran sepanjang 51 kilometer (km).

"Jajaran yang dicadangkan itu terdiri daripada 40 km laluan bertingkat dan terowong bawah tanah sejauh 11 km.

"Ia mempunyai 31 stesen dengan 10 daripadanya akan menjadi stesen pertukaran membabitkan lapan laluan rel sedia ada di Lembah Klang.

"Fasa 1 MRT 3 Laluan Lingkaran ini akan beroperasi pada 2028 dengan operasi penuh menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 4:53 PM
WEE (tengah) bersama Darwis (kiri),  Mohd Zarif (dua kiri), Mohd Azharuddin (empat kiri) dan Mohd Zain pada sidang media Laluan MRT 3. FOTO Aswadi Alias
WEE (tengah) bersama Darwis (kiri), Mohd Zarif (dua kiri), Mohd Azharuddin (empat kiri) dan Mohd Zain pada sidang media Laluan MRT 3. FOTO Aswadi Alias