ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan merampas aksesori kamera tiruan di premis di Senawang, Seremban, pagi semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan merampas aksesori kamera tiruan di premis di Senawang, Seremban, pagi semalam. FOTO ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Hasbi Sidek


AKSESORI kamera tiruan dianggarkan bernilai RM52,070 dirampas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan dalam operasi di premis di Senawang, Seremban, pagi semalam.

Operasi bermula 10.30 pagi itu dijalankan selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pemilik premis menjual kamera dan peralatan kamera tiruan.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi membabitkan lapan pegawai penguat kuasa bersama pemilik cap dagang.

“Kami menerima aduan daripada pelanggan mendakwa premis berkenaan menjual aksesori kamera tiruan sebelum merujuknya kepada pemilik cap dagang dan pemeriksaan dijalankan di premis itu pagi semalam.

“Pemeriksaan mendapati premis terbabit menjual aksesori kamera disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan tindakan diambil mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagang 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya merampas pelbagai aksesori kamera dianggarkan bernilai RM52,070 untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, KPDNHEP Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang penjualan barang tiruan dan barangan cetak rompak melalui penguatkuasaan Akta Cap Dagang 2019 dan Akta Hakcipta 1987.

Katanya, jika terdapat sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menyalurkannya kepada kementerian ini melalui [email protected] atau menghubungi KPDNHEP Negeri Sembilan melalui talian 06-6016500 atau mana-mana pejabat cawangan KPDNHEP terdekat untuk tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 2:45 PM