SERAMAI 25 Pati ditahan dalam satu operasi bersepadu kelmarin selepas masih berdegil untuk pulang ke negara asal menerusi program Back For Good (B4G) yang berakhir pada 31 Disember lalu di sekitar Kangar dan Arau. FOTO Ihsan JIM
SERAMAI 25 Pati ditahan dalam satu operasi bersepadu kelmarin selepas masih berdegil untuk pulang ke negara asal menerusi program Back For Good (B4G) yang berakhir pada 31 Disember lalu di sekitar Kangar dan Arau. FOTO Ihsan JIM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SERAMAI 25 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Perlis masih berdegil selepas enggan pulang ke negara asal meskipun mereka diberi masa untuk pulang secara sukarela menerusi program Back For Good (B4G) yang berakhir pada 31 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Basri Othman berkata, kesemua mereka ditahan kelmarin dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan sekitar Kangar dan Arau.

Menurutnya, kesemua PATI berkenaan memberikan pelbagai alasan dan bersembunyi di rumah kongsi di kawasan tapak pembinaan sekitar negeri ini.

“Dalam operasi yang dijalankan selepas ambang tahun baru sehingga 5 pagi kelmarin, seramai 174 warga asing diperiksa di beberapa lokasi tapak pembinaan berskala besar.

“Daripada 25 PATI yang ditahan, seramai 14 daripadanya adalah warga Bangladesh, sembilan orang warga Indonesia dan dua orang dari Myanmar yang berusia antara 19 hingga 50 tahun.

“Hasil soal siasat mendapati majikan masih menggajikan mereka meskipun kesemuanya sudah berada dalam negara ini melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka direman selama 14 hari di depot tahanan JIM negeri bermula kelmarin untuk siasatan lanjut..

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 11:37 AM