MOHAMED Apandi. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Apandi. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PENGERUSI Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan peletakan jawatan beliau serta-merta hari ini.

Keputusan itu diambil beliau ekoran keputusan pucuk pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan antara Lembaga Disiplin dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, beliau memilih untuk mengekalkan maruah dan integriti manakala pucuk pimpinan parti boleh memilih untuk mengekalkan jawatan politik masing-masing.

“Pucuk pimpinan parti boleh kekalkan jawatan politik masing-masing, saya kekalkan maruah dan integriti saya,” katanya dalam kiriman WhatsApp kepada Harian Metro.

Sebelum ini, media melaporkan Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong sepatutnya dipanggil mengadap Lembaga Disiplin hari ini bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan melanggar perlembagaan dan tata etika sebagai ahli UMNO.

Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebelum ini memfailkan surat rasmi kepada Lembaga Disiplin bagi menyiasat dakwaan bahawa Hishammuddin cuba menjadi ‘orang tengah’ dengan membawa masuk beberapa pemimpin UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketika dihubungi, Lokman berkata, beliau menyambut baik keputusan yang dibuat Mohamed Apandi sebaik saja Presiden UMNO mengarahkan agar prosiding tunjuk sebab Lembaga Disiplin UMNO ke atas bekas Ketua Pemuda UMNO itu dihentikan.

“Tindakan menghentikan prosiding ke atas Hishammuddin yang melanggar beberapa peraturan parti termasuk menghasut kepimpinan UMNO Sabah untuk meninggalkan parti dan menyertai BERSATU secara beramai-ramai bukan hanya berlaku sekali, tetapi tiga kali termasuk yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Lembaga Disiplin UMNO sepatutnya adalah sebuah badan bebas yang tidak boleh disekat daripada menyiasat sesiapa saja tanpa dihalang termasuk oleh presiden sendiri. Tindakan Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) ini jelas bercanggah dengan Perlembagaan parti dan menghina kedudukan Pengerusi dan Lembaga Disiplin Parti,” katanya.

Untuk rekod, Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang pada awal tahun ini bersetuju melantik Mohamed Apandi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 5:56 PM