GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


ENAM jalan masuk menghubungkan laluan ke Lebuhraya Pasir Gudang di Johor Bahru akan ditutup selama lapan jam bermula 10 malam, 29 Disember ini.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru dalam kenyataanya berkata, penutupan laluan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jejantas yang akan dilaksanakan di jalan berkenaan.

Katanya, antara jalan masuk ke Lebuhraya Pasir Gudang yang ditutup sementara termasuk Jalan Persiaran Perling, Skudai dari arah Pusat Bandar, dan Jalan Skudai dari arah Senai.

“Turut ditutup jalan masuk Pasir Gudang-Perling, Jalan Kempas arah Datin Halimah ke Kempas Baru dan Jalan Kempas dari Tamab Setia Tropika ke Datin Halimah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan serta menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan.

“Laluan alternatif dari arah Skudai ke Pasir Gudang ialah melalui Jalan Tampoi-Jalan Pandan-Lebuhraya Pasir Gudang.

“Laluan alternatif dari arah Pasir Gudang ke Skudai adalah melalui Jalan Kempas -Jalan Tampoi-Jalan Skudai,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook JKR Johor dan MBJB atau menghubungi talian hotline JKR Johor Bahru 07-2240576 atau 07-2223133.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 4:44 PM