Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) merupakan projek pembangunan sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) merupakan projek pembangunan sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Projek Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) yang dianggarkan menelan kos RM2.56 bilion, dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Solihan Badri berkata projek terbabit kini di tahap 21.57 peratus pelaksanaan.

Katanya, Program Ujian Rintis Bas Transit Rapid (BRT) bagi IMBRT telah dimulakan pada 8 April lalu.

"Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) melabur sebanyak RM151 juta bagi memuktamadkan reka bentuk kejuruteraan infrastruktur, menilai reka bentuk keperluan operasi dan kewangan, kerja-kerja penyiasatan dan pengambilan balik tanah.

"IMBRT adalah sistem BRT komprehensif yang pertama di Malaysia dan akan jadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam di Iskandar Malaysia.

"Projek ini akan akan disambung ke projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura; Lapangan Terbang di Senai; Larkin Sentral ; Landasan Berkembar Kempas dan Terminal Feri Antarabangsa di Stulang Laut dan Iskandar Puteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Cheo Yee How ( Perling - DAP) berhubung perkembangan terkini BRT di Johor pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.

Solihan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, reka bentuk terperinci bagi jajaran BRT Iskandar Puteri telah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, reka bentuk terperinci bagi jajaran BRT di Skudai dan Tebrau akan dimuktamadkan selepas mengambil kira maklum balas terhadap jajaran Iskandar Puteri.

"IRDA juga telah mengadakan sesi pembentangan dan libat urus laluan perkhidmatan IMBRT bersama agensi-agensi berkepentingan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

"Selain itu perbincangan turut diadakan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu); Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDK) bagi menyemak laluan dan mendapatkan sokongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:25 PM